Nota

i. Permasalahan Dalam Penulisan

Kelemahan pelajar dalam penulisan melibatkan aspek-aspek berikut:
1. Binaan ayat
-Ayat tidak gramatis (contohnya: tiada subjek atau predikat,kesalahan morfologi dan sebagainya. Contoh:
a. Adalah mustahak bagi ASEAN untuk terus memperkukuhkan serta memperluaskan
hubungan dengan negara lain.
b. Novel yang dikarang oleh Abu sudah dibaca oleh saya

- Ayat-ayat yang terdapat unsur lewah. Contoh:
a. Aktiviti sukan dan riadah mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.

- Kesalahan dalam penggunaan laras bahasa. Contoh:
a. Pelbagai insentif telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi pelajar.

- Tidak/kurang mahir dalam mengembangkan ayat
- peluasan bahagian subjek/predikat
- peluasan ayat dasar kepada ayat terbitan
- antara ayat tiada pautan dan kesepaduan makna

2. Kesalahan dari segi tatabahasa dilihat begitu ketara. Antara kesalahan tatabahasa yang ketara dalam penulisan ialah:

a. Ejaan. Contoh: Diatas, didalam, juru cakap, walaubagaimanapun, dan lain-lain. Perlu diketahui ejaan yang salah akan, dipotong 1/2 markah.
b. Penggunaan kata sendi nama (di, dari, daripada, pada, kepada, antara, di antara, dalam, di dalam)
c. Penggunaan kata pemeri ( ialah, adalah )
d. Penggunaan kata majmuk ( dijarakkan, dirapatkan )
e. Penggunaan kata hubung
f. Penggunaan imbuhan awalan,  awalan akhiran, apitan dan sisipan
g. Contoh kesalahan imbuhan : Penggunaan imbuhan memper...., memper...kan, meng...i, ber..., ber....kan dan lain-lain.

Contoh kesalahan tatabahasa dan ejaan
       Kebanyakkan orang pasti bercita-cita untuk mencapai hierarki yang teratas di dalam bidang perniagaan yang diceburi. Walaubagaimanapun, untuk menempatkan diri di kalangan kepimpinan tertinggi bukalah satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu adalah wanita, yang seringkali dilabelkan sebagai golongan yang lemah, emosional, dan sensitif.

3. Pemilihan perkataan tidak sesuai dan tidak tepat.
    a. Perkataan tidak menepati maksud sebenarnya.
    b. Perkataan yang dipilih bersalahan dengan konteks.
    c. Perkataan tidak menepati laras bahasa.

4. Kesilapan penggunaan tanda baca
 * Tidak mahir menggunakan tanda baca ( tanda noktah, tanda koma, tanda koma bertindih, tanda titik bertindih, tanda tanya, tanda seru, dan lain-lain.

5. Gaya penulisan.
    a. Skema dalam penulisan (pendahuluan, isi, dan penutup )
    b. Binaan ayat dalam perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup dihasilkan
        secara tidak berstruktur.
       - Perenggan pendahuluan ( ayat rangsangan dan ayat arahan )
       - Perenggan isi ( 5W 1H, deduktif, induktif, eklektif dll )
       - Perenggan penutup ( ayat kesimpulan, cadangan, harapan )
    c. Pemerengganan dalam karangan. ( tidak sekata )
    d. Ayat terlalu panjang. ( ketaksaan makna )
    e. Tidak mengemukakan kaedah retorik ( perjelasan, penghujahan, pemerian, dan perbincangan
        yang relevan.

6. Idea/Isi
    a. Idea pokok tidak disokong dengan idea kecil / idea sokongan
    b. Tidak menjawab rangsangan tajuk ( bincangkan, setujukah anda, huraikan, jelaskan )
    c. Tidak cukup isi, huraian dan contoh.
    d. Isi kurang bernas / tidak matang, kenyataan sepintas lalu, tiada fakta, contoh dan kenyataan
        yang kukuh.

        Contoh soalan:
        Sebagai pengerusi persatuan belia di tempat anda, anda telah ditugaskan untuk merangka
        beberapa program yang dapat menambahkan tabung kewangan persatuan. Kemukakan
        cadangan-cadangan itu.

        i.  Memunggut derma                   -                kurang matang
        ii.  Menaikkan yuran                     -               kurang matang
       iii.  Menternak ikan air tawar         -               matang
       iv.  Buka kedai koperasi                 -               matang
        v.  Kebun sayur hidroponik           -               matang

    e.  Urutan isi tidak ada koheran.
    f.  Isi yang berulang-ulang

7. Olahan
     a.  Pelajar tidak menguasai ragam ayat ( ayat aktif, ayat pasif )
     b.  Tidak mempelbagaikan jenis ayat ( ayat penyata, ayat perintah, ayat tanya, dan ayat seruan )
     c.  Tidak menguasai susunan ayat dalam bahasa Melayu ( susunan ayat biasa, susunan ayat
          songsang )
     d.  Tidak membuat semakan pada akhir penulisan. ( Semak ayat, penggunaan imbuhan, diksi,
          ejaan dan lain-lain )

     Kecenderungan mengemukakan terlalu banyak isi karangan adalah antara kesilapan yang dilakukan oleh pelajar kerana pelajar hanya menyenaraikan isi tetapi tidak mengembangkan isi. Apatah lagi dalam perenggan isi, pelajar memberikan dua atau lebih isi utama. Biasakanlah, untuk satu perenggan isi, hanya satu isi dicatat dan isi dikembangkan.
     Perkara penting perlu dielakkan sama sekali dalam penulisan ialah isi tidak lari daripada tajuk dan penulisan menepati format yang betul. Fikir secara cermat dan dalami kehendak soalan sebelum memulakan proses menulis. Hasilkan rangka isi untuk memastikan karangan anda menepati kehendak soalan. ( ambil kira pertautan isi dan jalinan karangan )

a.  Langkah yang perlu difikirkan sewaktu memulakan penulisan karangan.
     i.  Menentukan tujuan penulisan
    ii.  Proses penulisan - mendapatkan idea
   iii.  Isi - relevan, jelas, logik, dan asli.
   iv.  Mekanis - tanda baca dan kebolehan tulisan tangan
    v.  Tatabahasa - rumus bagi imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan.
   vi.  Sintaksis - struktur ayat, ragam ayat, pemilihan gaya.
  vii.  Pemilihan kata - kosa kata dan rangkai kata
 viii.  Penyusunan - paragraf, topik, huraian, dan pertalian
  ix.   Pembaca - orang yang bakal membaca.

b.  Ciri-ciri Karangan yang baik:
     *  Jawapan hendaklah menepati kehendak tajuk yang dipilih.
     *  Takrifan soalan mestilah tepat, jelas, dan relevan.
     *  Isi yang cukup, disokong dengan isi sokongan yang bernas dan matang.
     *  Menggunakan kaedah retorik ( penjelasan, penghujahan, pemerian, dan perbincangan ) yang
         relevan.
     *  Pemerangganan yang baik dan seimbang, mengandungi huraian isi disertai dengan contoh yang 
         sesuai.
     *  Gaya persembahan yang baik dan relevan dengan kehendak soalan.
     *  Penggunaan ayat yang pelbagai dan frasa yang menarik.
     *  Mengandungi sisipan peribahasa, slogan, dan sebagainya yang berkaitan dengan isu dan tajuk.
     *  Menepati format yang dikehendaki dalam soalan.

     Sebagai kesimpulannya, pelajar yang menulis karangan mengikut kemahuan sendiri tidak mungkin dapat menghasilkan karangan yang berkesan. Pelajar seharusnya berusaha untuk mematuhi peraturan penulisan karangan dengan format yang betul dan persembahan yang mantap. Yang pastinya pelajar yang mengikut peraturan menulis karangan yang betul akan menjanjikan markah yang cemerlang.

ii. Elemen-elemen Lain Dalam Penulisan

a) Ayat gramatis- Ayat gramatis bermaksud:
- Setiap ayat harus ada subjek dan predikat.
- Menggunakan laras bahasa yang betul.
- Tiada unsur kelewahan maksud / bahasa.
- Penggunaan tanda baca yang betul.
- Pemilihan diksi / kata yang tepat dengan konteks dan maksud.
- Betulkan sebarang kesalahan ejaan.

b) Isi yang dikembangkan (perenggan isi)
- Ayat pertama - menyatakan isi
- Ayat yang berikutnya - mengembangkan isi, iaitu jelaskan sebab, bagaimana, mengapa - mengikut
kesesuaian.
- Memasukkan maklumat sokongan dalam huraian untuk menyokong isi yang dikemukakan.
- Membuat penyimpulan pada isi tersebut.

c) Olahan yang menarik
- Gunakan ragam ayat yang pelbagai
- Pelbagai jenis ayat
- Susunan ayat

d) Kosa kata luas
Contoh: masyarakat madani, kebejatan sosial, nostalgia, aura, idola, terkesima dan lain-lain.

e) Frasa / Ungkapan menarik
Contoh:
* Ibarat serangkap bak selembing, serumpun bak serai - gambaran kepada kerjasama
dan muafakat.
* Suka akan gaharu kerana baunya, suka akan guru kerana ilmunya.
* Umpama menelan mestika embun - menerima kritikan dengan sikap terbuka untuk
kemajuan akan datang.

Penggunaan Penanda Wacana Dalam Penulisan

a. Pengertian Penanda Wacana
    *Perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk mempertalikan sesuatu idea, hujah
      dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Ketiadaan penanda wacana yang
      tepat akan menyebabkan seluruh teks berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang
      lengkap.
 
b. Pengertian Kohesi
    *Kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik dalam 
      sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap.Keserasian lazimnya dilihat melalui
      hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan atau frasa atau ayat lain
      dalam wacana yang sama.
 
      Contoh ayat yang kohesi 
      1. Ali dan adiknya pulang ke kampung
      2. Mereka pergi ke sana untuk berhari raya
 
    *Kohesi antara ayat (1) dengan ayat (2) wujud melalui pertalian antara Ali dengan adiknya, mereka
      serta ke kampung dan ke sana.
 
c. Pengertian Koheren
    *Koheren atau runtutan, merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana
      sehingga menjadikan teks itu bermakna.
 
Contoh petikan yang berkoheren
Teknologi maklumat dicipta dan dikembangkan oleh dunia Barat. Oleh hal yang demikian, bahasa asas bidang ini sudah sewajarnya bahasa Inggeris. namun begitu, teknologi maklumat telah tersebar luas ke seluruh negara dan ke alam yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa  utama. Oleh itu, teknologi maklumat memerlukan pengubahsuaian dalam aspek tertentu untuk berkembang agar selari antara penggunaan bahasa lain dengan bahasa Inggeris.

        *Kesinambungan idea terjalin melalui perkataan / frasa
          - Ayat 1 : teknologi maklumat
          - Ayat 2 : bahasa asas, tersebar luas ke seluruh dunia
          - Ayat 3 : berlaku penyesuaian, penggunaan bahasa

Penanda Wacana
      Dalam bahasa Melayu, kita dapat membahagikan penanda wacana yang ada kepada beberapa kategori berdasarkan fungsinya.

 a) Penanda tambahan:-
     Selain itu, tambahan pula, lagipun, dan juga
 b) Penanda akibat:-
     Dengan yang demikian, oleh itu, sebagai akibatnya, jadi, oleh hal yang demikian
 c) Penanda contoh:-
     Sebagai misalnya, sebagai contohnya, sebagai umpamanya, terutamanya, khususnya
 d) Penanda keterangan atau penjelasan:-
     Dengan kata lain, ringkasnya, tegasnya, sebenarnya, yakni
 e) Penanda kesimpulan:-
     Intihannya (akhirnya), kesimpulannya, ringkasnya, pada keseluruhannya
 f) Penanda perbandingan:-
     Sebagai perbandingan, demikian juga

Untuk mewujudkan kesinambungan antara ayat dan frasa dalam sesuatu wacana, penanda wacana juga berfungsi sebagai:

a) Penanda Penghubung : Perkataan / frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan
    maklumat dengan maklumat lain dalam wacana.

   i.  Penghubung Tambahan
       Penghubung yang memberi maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan
       sebelumnya, contohnya: dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu,
       selanjutnya.

       Contoh penggunaan penghubung tambahan dalam ayat:
       Kuasa melalui proses undang-undang diiktiraf oleh mahkamah. Undang-undang bukan sahaja
       menentukan bahawa kuasa itu sah, malahan menentukan bahawa kuasa itu digunakan dengan
       munasabah, adil, jujur, dan saksama.

  ii. Penghubung Tentangan
      Penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baharu diperkatakan
      dengan yang sebelumnya dalam wacana yang sama, contohnya: tetapi, sebaliknya, namun, namun
      begitu, walau bagaimanapun

      Contoh penggunaan penghubung tambahan dalam ayat:
      1. Ali dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun tersebut, namun hatinya masih
          teringat akan kampung halamannya.
      2. Morfem bebas boleh bersifat bebas dan terikat. Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud
          bersendirian.Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama
          morfem lain.
  iii. Penghubung Musabab: Penanda wacana yang mengaitkan sebab berlakunya sesuatu.

      Contoh :
      Kerana, oleh, oleh sebab, oleh itu, oleh demikian, dengan itu, maka itu
  1. Teknologi maklumat dicipta dan dikembangkan oleh Dunia Barat. Oleh demikian, bahasa asas
      bidang ini sudah sewajarnya bahasa Inggeris.

  2. Sebenarnya semua pihak patut terasa terpanggil untuk menangani masalah sosial dalam
      masyarakat kini. Dengan itu, kejayaan dapat dicapai dengan segera.

 iv. Penghubung Tempoh: Penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya
      sesuatu.

      Contoh :
      Pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka, akhirnya

KESIMPULAN
         
          Kecekapan dan kemahiran menggunakan penanda wacana membolehkan seseorang penulis dapat menyambung pemikiran dan idea secara berkesa, jelas, menarik, dan yang lebih penting dapat menyalurkan idea-idea kepada pembaca dengan jelas.
           Oleh sebab kemahiran ini wajar dikuasai untuk menghasilkan penulisan yang menampakkan wacana yang utuh maka diharap para pendidik berupaya mendedahkan kecekapan penggunaan kata penanda wacana kepada para pelajar agar mereka mahir menggunkan kata-kata tersebut. Perlu diingat pengajaran karangan ialah pengajaran yang menekankan penguasaan kemahiran dan bukannya perlumbaan menghabiskan sukatan.

 
Rumusan

- Isi karangan perlulah dikembangkan
- Elakkan melakukan kesalahan tatabahasa yang dianggap ketara
- Setiap perenggan perlu sekata
- Ayat yang gramatis
- Penggunaan penanda wacana yang tepat
- Menyatakan ungkapan yang menarik seperti
- Peribahasa, perumpamaan, slogan, kata hikmat




 

1 comment:

  1. Nota anda cukup lengkap dan sangat sesuai untuk dijadikan panduan kepada murid-murid dalam membina ayat yang lengkap. Tahniah...

    ReplyDelete